Selasa, 28 Ogos 2012

Kecurian 3 - Pencuri Bersiri Tabung Surau Dikenalpasti

Misteri kehilangan wang tabung surau telah terbongkar dan pencuri terbabit telah dikenalpasti. Meurut saksi kejadian, En Mohd Shukri, pada jam 5.30 petang, Azmir (anak kepada salah seorang jemaah Surau) terlewat untuk solat Asar di surau. Setibanya di surau, kelihatan seorang pemuda sedang berdiri betul-betul berhadapan dengan pintu bilik yang menempatkan tabung surau. Pemuda itu memaklumkan terdapat seekor biawak dalam surau dan mengarahkan Azmir mendapatkan bahan-bahan yang diperlukan untuk menghalau biawak tersebut. Azmir terus menuju ke rumah En Shukri yang baru balik dari tempat kerja, dan memaklumkan perkara tersebut. En Shukri bersama anaknya (Shazwan) dan Azmir terus ke surau. Pemuda terbabit dilihat telah berada di luar surau sambil memegang sebatang kayu dan memaklumkan bahawa biawak telah berjaya diusir keluar. Dalam keadaan tergesa-gesa pemuda tersebut meninggalkan kawasan surau dengan menonggang motosikal Kriss warna biru menghala ke Batu Gajah. Menyedari seperti ada sesuatu yang tidak kena, En Mohd Shukri masuk ke dalam surau dan mendapati tabung-tabung surau telah diceroboh. Modus operandi yang digunakan adalah sama seperti kejadian sebelum ini iaitu menggunakan kayu untuk mengambil tabung-tabung surau dalam bilik yang berkunci. Yang pastinya, wajah penjenayah terbabit telah dikenalpasti dan sama-samalah kita berdoa semoga Allah memberi petunjuk dan hidayah kepada beliau untuk bertaubat dan mengubah cara hidupnya. InsyaAllah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan